| |
Pilihanraya
Kampus: Ke Arah Melahirkan Pemimpin Karismatik Muda
Mohd Jamizal Zainol
Apabila artikel ini tersiar pilihanraya kampus yang diadakan serentak
di seluruh Malaysia sudah berakhir.Rata-rata keputusan menunjukkan kumpulan
pelajar pro aspirasi kerajaan dan pro pembangkang agak seimbang penguasaannya.
Kampus-kampus seperti UUM,UiTM dan Kolej Tun Hussein Onn dilaporkan dimenangi
oleh pro aspirasi kerajaan. Kampus-kampus seperti UM,UTM dan UKM masih
dikuasai oleh pro-pembangkang. Pada hemat penulis label pro pembangkang
dan pro aspirasi kerajaan hanya timbul selepas media memeberikan liputan
luas terhadap pilihanraya kampus pada tahun ini.Sebelum ini label-label
seperti ini boleh dikatakan tidak wujud dan pertandingan hanya tertumpu
diantara parti-parti pelajar yang bersifat informal yang ditubuhkan secara
ad-hoc untuk tujuan pilihanraya.
Antara
sebab pilihanraya kali ini begitu mendapat perhatian massa ialah format
pilihanraya yang baru dikuatkuasakan. Jika sebelum ini parti-parti bertanding
boleh mneydiakan poster sendiri dan kempen secara terbuka dibenarkan ,ironisnya
pada tahun ini dan seterusnya poster-poster kempen hanya dikeluarkan oleh
Hal Ehwal Pelajar berbentuk ‘standard’ hitam dan putih supaya calon tidak
dikenali mewakili kumpulan-kumpulan tertentu.Bagi tempoh berkempen pula
disingkatkan dan kempen secara terbuka tidak dibenarkan. Ini bermakna
‘public speech’ dan rapat-rapat umum sudah tidak dibenarkan.Misalnya di
UKM , calon hanya boleh berkempen melalui pita video,dengan harapan untuk
mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini dan kempen keterlaluan.
Menelusuri kembali tujuan diadakan pilihanraya kampus ialah bagi memilih
pemimpin pelajar yang benar-benar berkualiti bagi menerajui kepimpinan
majlis perwakilan pelajar (MPP). MPP berfungsi sebagai mata ,telinga pelajar
dalam menjaga kebajikan mereka sepanjang pengajian disini.Ini bermakna
pemimpin yang dipilih memepunyai tanggungjawab yang berat dan mereka benar-benar
‘viable’ dan berkarisma dalam memberikan perkhidmatan terbaik terhadap
masyarakat kampus.Berkarisma ialah kata kunci yang paling tepat kepada
penulis jika ditanya kriteria yang diperlukan bagi seorang pemimpin pelajar.
Karisma mempunyai konotasi yang cukup luas yakni merangkumi cara bekerja,pesonaliti,ekspresi
idea,berakhlak dan tidak dilupakan interaksi sosial yang baik.Tambahan
pula,Falsafah pendidikan negara dan mana-mana pusat pengajian tinggi di
dunia ini mengharapkan untuk menghasilkan pelajar yang versatile dan serba
boleh.Pendidikan negara kita bersifat holistik bagi menghasilkan ‘insan
kamil’ yang sempurna sifatnya.Agak malang,apabila pendidikan hanya dijadikan
alat untuk menghasilkan pekerja mahir sahaja.Persepsi ini salah dan perlu
diperbetulkan. Justeru,pilihanraya kampus merupakan ruang yang paling
sesuai untuk mencapai tujuan tersebut.Golongan pemimpin muda ini diharapkan
benar-benar ampuh setelah melalui pelbagai ranjau kepimpinan kampus untuk
menerajui kepimpinan negara kelak.Pilihanraya kampus merupakan salah satu
proses wajib yang perlu dilalui bagi seorang pemimpin pelajar.Bak kata
pepatah,proses kepimpinan ibarat menghasilkan air suling dimana air tersebut
perlu melalui pelbagai peringkat proses penapisan dan sulingan sebelum
menjadi air tulen.
Karisma menurut Tony Alessandra di dalam bukunya ‘Charisma:Seven Keys
To Developing The Magnetism That Leads To Success’ menyatakan bahawa salah
satu cirri utama karismatik ialah potensi menyampaikan visi dan idea secara
berkesan.Memetik kata beliau “Charismatic people possess a similar,almost
childlike faith in their vision and their ability to create change.People
will follow leaders whose vision inspires them and makes their lives more
meaningful”.Albert Einstein, Eleanor Roosevelt dan Bill Gates ialah antara
beberapa orang tokoh pada hemat penulis yang karismatik kerana kekuatan
idea dan visi mereka.
Tidak syak lagi,pilihanraya kampus sepatutnya menjadi medium yang sesuai
untuk tujuan tersebut.Kempen yang begitu singkat dan tiada kebebasan pelajar
untuk berkempen bagi menerangkan manifesto dan gagasan mereka sebenarnya,
sedikit sebanyak menghakis cirri-ciri karismatik yang penulis nyatakan
tadi.Pengundi hanya mampu menilai calon-calon yang bertanding melalui
poster hitam putih dan sedikit manifesto berbentuk tulisan yang dilampirkan
bersama.Ditakuti pemimpin yang dipilih nanti ialah ‘pemimpin kangkung’
yang hanya timbul dan menampakkan muka hanya semasa musim pilihanraya.Walhal
sebelum ini mereka tidak dikenali langsung sebagai mereka yang aktif dan
layak digelar sebagai pemimpin.Pengukuhan kepmpinan mereka hendaklah seperi
bunga ‘kiambang bertaut’ yang mempunyai akar yang kukuh dan sedia mantap
walaupun selepas hujan.Untuk itu mereka ialah pemimpin yang telah melalui
pelbagai proses kepimpinan seperti yang diyatakan tadi?
Tidak dinafikan politik luar kadangkala mempengaruhi bentuk dan corak
undian.Kecenderungan pemimpin pelajar ini ke arah parti politik tertentu
ialah suatu yang fitrah dan tidak dapat dielakkan kerana acapkali isu
diluar secara kebetulan mempunyai nilai yang sama dengan aspirasi perjuangan
pelajar. Sebenarnya,perkara ini tidak perlu dirunsingkan malah digalakkan
sebagai adab perbezaan pandangan atau dalam erti kata lain sebagai ‘politics
of difference’.Sebagai sebuah negara yang mengamalkan pemerintahan demokrasi
,suasana ini amat baik dan membuktikan mahasiswa kita tidak jumud dan
idea mereka segar dan kreatif.Penulis percaya masyarakat kampus ialah
pengundi yang matang dan mereka hanya memilih pemimpin yang memenuhi ciri-ciri
karisma tersebut.Penulis tertarik dengan sebuah artikel yang bertajuk
‘Relativism,Deconstruction and the Curriculum’ oleh Amy Gutmann dimuatkan
dalam buku ‘Campus Wars’.Beliau menyatakan ‘Colleges and universities
are the only major social institutions dedicated to fostering knowledge,
understanding, intellectual dialogue and the pursuit of reasoned argument
in the many directions that it may lead’. Maka,hasrat ini jangan dibantutkan
melalui sekatan-sekatan yang tidak munasabah sekaligus membunuh nilai
karismatik yang kita inginkan.
Penulis yakin dan percaya proses pilihanraya yang terdahulu lebih pragmatik
ke arah menghasilkan kepimpinan pelajar yang karismatik,kebebasan pelajar
untuk berkempen tidak boleh disekat selagi mana tidak menyentuh isu-isu
sensitif.Proses pilihanraya kampus merupakan wadah demokrasi terbaik untuk
masyarakat kampus memilih pemimpin mereka.Oleh itu, kebebasan diperlukan
untuk mereka membuat pilihan.Mungkin format pilihan raya yang baru ini
boleh menghapuskan elemen pembangkang di kampus tetapi dalam masa yang
sama mampu juga membunuh karisma pemimpin pelajar.Utamakanlah yang utama,pembinaan
kepimpinan yang unggul dan berkarisma lebih penting daripada agenda remeh
yang lain.Untuk itu semua pihak perlu meneropong semula idea yang dilontarkan
oleh Plato di dalam Republic dan Crito mengenai demokrasi dan apresiasi
nilai demokratik dalam masyarakat kita.Jangan ‘kerana nila setitik rosak
susu sebelanga’ dan ‘kerana nyamuk seekor habis kelambu dibakar’.
MOHD
JAMIZAL ZAINOL ialah seorang mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIA) dan menjadi exco Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM).
|
|